Monday, May 20, 2002

Wajahnya berkerut-kerut bila menceritakan kerenah kakaknya. Perempuan tak guna. Tak mengenang budi. Sedari kecil, apa sahaja yang dia mahu akan dituruti. Tapi bila dah besar, lari ke Siam untuk berkahwin dengan suami orang.
Kemarahan dia sedikit pun tidak reda walaupun cuba dipujuk berulang kali. Setiap patah kata hanya gugur ke kelopak telinga. Tiada satu pun yang singgah walau sebentar ke benak hatinya.
�Bodoh punya perempuan. Belajar tinggi-tinggi, tapi takkan dia tak boleh pikir sendiri? Sekarang ni dah takut nak balik rumah. Berani buat berani tanggunglah.�
Aku hanya mendengar dan tersenyum kelat. Surat kakaknya yang ditulis untuk keluarganya hanya kubaca sepintas lalu. Cintanya untuk lelaki milik perempuan lain itu terlalu dalam. Entah apa istimewanya lelaki itu sehingga dia tergila-gilakannya. Bercinta dengannya bagai menanggung biawak hidup. Lelaki keparat yang makan hasil titik peluh isteri.
Aku tidak kenal kakaknya. Aku cuba tidak menyalahkan perempuan itu. Dalam hal ini, suaminya itu yang bersalah. Berkahwin tanpa izin isteri pertama dan membawa lari perempuan itu ke Siam. Perbuatannya itu memalukan keluarga budak ni. Kalau perkara ini terjadi pada adikku, lelaki keparat itu pasti akan kucincang lumat-lumat. Biar aku masuk penjara dan dihukum gantung, asal hati aku puas. Entah minyak senyonyong mana yang dia guna untuk menundukkan kakak budak ni.
Tapi aku masih berdiam hanya mendengar budak itu meluahkan isi hatinya. Keluarga yang makan di meja sebelah pun seakan memasang telinga mendengar perbincangan kami.
Aku mengajak dia beredar dari situ untuk solat. Sehabis solat, ayatnya masih begitu. Dia masih marah. Cerita sama dalam nada yang serupa. Aku bosan dan sedikit marah. Aku tak boleh nak tersenyum lagi menadah telinga.
�Dengar sini. Apa-apa pun, dia masih kakak kau. Kau kena ingat, dia saja kakak yang kau ada. Satu-satunya keluarga yang kau ada, bila mak ayah kau tiada kelak. Ingat juga, dia saudara kau yang paling tua. Kau tidak boleh maki dia sebegitu ikut sedap mulut kau saja. Hormatlah dia, walau sedikit. Orang yang paling berhak menegur ialah orang tua engkau. Kalau betul pun kau benci atau benci sangat pada kakak kau ni, bila dia balik rumah nanti kau terus masuk bilik. Lepaskan kemarahan kau di sana. Kau nak terbalikkan katil, almari, kau buat dalam bilik. Buat apa yang kau suka, tapi biarkan kakak kau tu. Dia sudah cukup menanggung malu. Jangan terus menghukum dia. Pasti satu hari dia akan sedar kesilapannya. Berilah dia peluang.�
Budak itu terdiam. Matanya sedikit berkaca. Dia masih kesal atas perbuatan kakaknya itu. Marahnya juga masih begitu.
Aku bersalam dan meminta diri. Aku tau di hatinya masih tersimpan dendam. Aku tidak salahkan dia.