Friday, August 30, 2002

Epik Duka Sekepal Tanah

Mengikut baris-baris tawarikh
Tanah ini asalnya maha luas � maha gagah � maha kaya
Dari kaki langit ke kaki langit
Berdakap darat ke darat berpeluk laut ke laut
Berjalan pergi tujuh keturunan
Berpatah pulang tujuh keturunan

Jika digali batu di gunung yang dapat adalah permata
Jika ditanam pohon di lembah yang tumbuh adalah emas
Jika diceduk air di sungai yang teguk adalah madu

Di dalamnya hidup rukun pustaka
Bangsawan asal dari kayangan
Pahlawan gagah dan pedagang kaya
Juga rakyat darah biasa

Berhubung tulis dalam Jawi, tutur dalam Melayu

Maka dipanggil sekelian alam akan ini Tanah Melayu

sekarang ini
cuma tinggal sekepal saja
itupun terbahagi / terbelah / tercerai di mana-mana

jika dipandang ke depan yang ada
gedung batu penuh gila
jika ditoleh ke belakang yang ada jentera enjin penuh sewel
gunung permata telah diperkosa dan dipaksa menjadi pelacur kilang
lembah emas telah diteroka, dibinasa dan dibangunkan kota
celaka
sungai madu dicemar dan menjadi longkang
berkumpul segala tahi selepas berak

di dalamnya lumrah kisah sengsara dan mati tidak lagi
menjadi ngeri
orang-orang alim yang baik
difitnah dan disumbat ke penjara
orang-orang bijak yang adil dihina dan dibuang entah
ke mana
rakyat ditipu, ditindas, disepak, dihalau dan dijadikan fakir hina

maka tidak ada apa-apa lagi.
kecuali mereka -

para tengkorak-tengkorak buruk yang pernah mencabar kesamsengan Tuhan
belum habis-habis sibuknya bersidang bagaimana cara
tanah sekepal ini akan dibahagi-bahagikan
sesama mereka.

muring-wien
Hallstadt, Austria Jam 21:54:02, 27 Ogos 2002