Tuesday, May 06, 2003

�Sejarah menjadi pelajaran yang membosankan kerana guru-guru tidak pandai mengajar.� Itulah kata-kata yang terucap dari bibir salah seorang jemputan rancangan lewat malam itu.

Pada pendapat tetamu itu, sejarah yang diajar di sekolah hanya untuk dihafal dan tidak lagi untuk difahami atau dijiwai. Dia melihat sejarah sebagai matapelajaran yang sebenarnya boleh mengembangkan minda pelajar. Dia melihat sesuatu peristiwa itu bertolak dari faktor sekitarnya. Sejarah bukan hanya mengenai tarikh tapi banyak berkait dengan perkara-perkara lain seperti soal sosial, politik, budaya, geografi dan falsafah.

Aku bersetuju dengan pendapatnya.

Memang aku percaya manusia perlu maju ke hadapan, tapi untuk memahami keadaan hari ini kita patut memandang ke belakang seketika. Untuk lebih mengenali diri kita, kita patut merenungi dan memahami sejarah. Setiap peristiwa yang menimpa, setiap pilihan yang kita buat semalam hampir pasti memacu setiap tindakan kita hari ini. Dalam erti kata lain, setiap manusia yang mampu berfikir dengan waras hampir pasti akan berinteraksi dengan peristiwa yang berlaku atas dirinya.

Oleh yang demikian, tidak sepatutnya tujuan matapelajaran sejarah diajar di sekolah hanya menjurus pada siapa yang terlibat dan bila ia berlaku. Sepatutnya matapelajaran itu lebih patut mendidik generasi pelajar untuk lebih memahami keadaan hari ini. Soalan yang lebih wajar diajukan ialah, �Apakah kepentingan peristiwa tersebut dan kesan-kesannya pada masyarakat zaman kini?�

Tidak dinafikan tarikh-tarikh itu amat penting tapi yang lebih penting sebenarnya ialah peristiwa yang bertitik tolak dari peristiwa yang lain. Jika sejarah hanya diajar hanya untuk dihafal tanpa perlu dibicarakan maka lupakan saja mimpi untuk melahirkan generasi yang boleh berfikir dalam konteks yang lebih luas. Musnahlah harapan untuk melahirkan ratusan Rausyanfikir. Jangan impikan walau seorang pun Ibnu Khaldun akan lahir lagi dalam arus pendidikan masa kini. Jangan haraplah akan tersemai semangat patriotik di kalangan pelajar.

Pasti ramai yang pernah mendengar bahawa sejarah itu ditulis dari kacamata pihak yang menang. Jika malu dilabel sebagai pemberontak, pengganas dan segala nama yang buruk dan tengik, belajar-belajarlah menulis sejarah sendiri. Banggakanlah diri sebagai hero kemerdekaan, pejuang dan segala nama yang harum.

Tapi yang lebih penting, walau dalam apa situasi sekali pun kita sebenarnya perlu belajar dari sejarah. Tidak kira samada sejarah sendiri atau sejarah orang lain. Tidak kira sejarah hamba atau sejarah orang merdeka. Tidak kira sejarah hero mahupun sejarah pemberontak.

�Orang yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah untuk mengulangi kesilapan zaman lampau.�

Selamatkanlah generasi akan datang daripada terkena sumpahan itu.