Wednesday, February 04, 2004

Catatan si Tanggang

Sabtu malam Ahad ni ada kenduri di rumah aku di JB. Kenduri untuk arwah atuk.

"Kan bagus maknya, kalau boleh tinggal kat sini (Mekah). Tak kesah la kerja apa. Sapu-sapu sampah pun ok. Tak dapat gaji pun tak apa, asal boleh tinggal kat sini." kata arwah atuk pada nenek beberapa hari sebelum mereka sepatutnya berangkat pulang ke mari.

"Mana boleh paknya. Kenalah balik." balas nenek.

Tapi Allah tunaikan juga permintaan arwah atuk dan nenek terpaksa pulang sendirian.

Aku rindukan arwah atuk. Sudah lebih dua tahun dia pergi.

Ahad lepas, lebih kurang jam 7.30 malam bertolak ke Tanjung Malim bersama borg, mertua dan ipar-duai. Melawat atuk borg yang sakit.

Ketika pergi, arwah atuk tidak setua atuk borg. Arwah meninggal ketika kudratnya masih ada dan ingatannya masih kuat.

Tapi atuk borg pun tak kurang hebatnya. Walau sudah tidak mampu bergerak sendirian, pada usianya 96 tahun, masih mampu juga mengingat nama-nama anak dan cucunya.

"Dia rajin mengaji masa mudanya, sebab tu ingatan dia kuat," kata seorang abang sepupu.

Pagi Isnin, aku bantu ayah mandikan atuk. Atuk tidak boleh mandi sendiri, kerana kakinya patah sebelah akibat terjatuh. Pertama kali aku mandikan orang tua. Dan aku tetap terbayangkan arwah atuk. Jika dia masih hidup, sanggupkah aku memandikan dia setiap hari? Menyuapnya makan? Membuang najisnya? Mengambilkan wudhu' untuknya? Menghiburkan hatinya?

Aku bukan pandai sangat mengenang budi. Aku tak fikir aku akan sanggup berkorban seperti ayah borg.

"Minta maaf ya ayah, kasar sikit mandikan ayah tadi."

Aku si Tanggang yang berlayar tanpa kompas dan peta. Sesat di lautan yang hiruk pikuk dengan kebendaan.

"Tak ada orang lain yang boleh mandikan atuk? Diorang sanggup pergi kedai daripada mandikan atuk?!"

Kalau difikirkan kembali, kalau kita tak buat, siapa lagi yang sanggup?

"Minta maaf mak, tak boleh balik minggu ni sebab banyak kerja."

"Hah ya lah. Tak apa," mak menjawab sayu.