Wednesday, June 30, 2004

memberi seribu alasan

hujung minggu seperti biasa ada jemputan yang perlu dihadiri. tapi hujung minggu yang lepas, jadual aku sedikit terganggu.

belum hilang lelah berpindah dari Shah Alam ke Rawang pada hari Sabtu sebelumnya, terpaksa pula bangun awal mengemas rumah untuk menyambut kehadiran tetamu.

tetamu dari jauh.

aku tak rasa begitu manis jika aku bergegas meninggalkan tetamu di rumah sedang mereka baru saja mahu beramah mesra.

antara janji mahu menghadiri kenduri atau melayan tetamu dari jauh. bukan pilihan yang mudah.

"kau ni asyik besarkan kawan saja!!" macam pernah dengar kan? kau tak rasa sakit jiwa kalau telinga asyik dipukul dengan dialog itu?

kebetulan aku pula terpaksa bekerja pada hari Ahad tu. (bukankah bagus kalau kenduri tu hari Sabtu? tapi aku boleh pula memberi alasan yang aku akan berpindah pada hari Sabtu, kan? alasan lagi?!!)

dan hari Ahad tu, aku dan borg melayanlah tetamu di rumah. makan tengahari pun pada pukul 3 petang setelah datang satu lagi gerombolan tetamu. perut sudah lama berdondang sayang tapi belum berkesempatan untuk diisi.

ding-dong ding-dong sudah pukul 4 petang. terpaksa pula bersiap untuk ke pejabat menyiapkan tugasan. orang-orang kerajaan takkan paham istilah 'berkampung' di pejabat ni.

bersengkang mata sedari 5 petang hari Ahad, dengan penat pindah barang hari sebelumnya, dan dibawa pula untuk mengejar deadline pukul 12 tengahari hari Isnin.

wow! hebat kan alasan aku ni? samada engkau mahu percaya atau bakulsampahkan saja, aku mahu doakan segalanya selamat untuk kau berdua.

tunggulah beberapa bulan lagi, kalau sebelum ni kau pening kepala dan marah-marah bila orang bertanya bila mahu berkahwin, tadah sajalah telinga bila orang bertanya bila mahu menimang anak.

:|

mungkin aku belum kenal lagi erti persahabatan. atau mungkin diri sudah lali dipersundalkan tugas di pejabat?