Friday, February 21, 2003

Dalam pertemuan persekutuan mereka yang tidak bersekutu, aku tertarik juga dengan satu lagi ide. Jika kita sebagai tikus bilamana jatuh ke dalam mangkuk yang berisi susu, tidak seharusnya hanya sibuk berenang agar tidak lemas tapi sepatutnya berusaha minum sehingga susu di dalam mangkuk itu kering dan akhirnya kita tak perlu lagi berenang.

Ini memang ide gila. Tapi di sebaliknya tersirat pengajaran yang penuh optimis.

Mengubah satu malapetaka hingga menjadi keuntungan pada kita tidak mudah. Selalunya kita mahu cepat lari dari masalah dan bukannya mahu menyelami masalah itu sehingga kita betul-betul faham dan tahu apa yang patut dilakukan untuk mengelakkan dari berrtembung dengan masalah seperti ini sekali lagi.

Dan lebih parah lagi jika kita terus-terusan mengharapkan keajaiban untuk berlaku bila berhadapan dengan masalah? Atau berserah sahaja pada nasib baik untuk menyelamatkan kita?

Sebenarnya segala-galanya terletak di tangan kita. Kebebasan untuk memilih adalah tanggungjawab yang paling besar sekali Allah pernah beri pada makhlukNya. Gunung pun tidak sanggup menerima tanggungjawab ini. Bulan, bintang atau matahari pun lebih selesa jika hanya menurut saja aturan yang Allah tentukan. Begitu juga dengan jutaan malaikat.

Hidup ini penuh teka-teki. Tanggungjawab kita berat. Takdir lebih tersembunyi daripada sebiji kacang yang berada di bawah tiga mangkuk. Mangkuk mana yang tersembunyi kacang? Kecewakah kita jika kita memilih mangkuk yang tidak berisi kacang?

Memang segala-galanya sudah tertulis. Namun begitu, walaupun Tuhan yang menentukan segalanya, tapi kita masih juga digalakkan untuk terus berusaha dan berdoa agar jalan untuk maju sentiasa terbentang luas untuk kita. Kita mungkin tidak tahu apa yang telah ditentukan, tapi kita tetap berusaha kerana usaha itu juga sebenarnya sebahagian daripada nikmat yang Allah kurniakan pada kita semua. Usaha untuk mendapatkan apa yang telah ditentukan atau usaha untuk mengubah ketentuan adalah tanggungjawab sebenar umat manusia.

Jika seseorang itu tidak mahu atau takut untuk membuat keputusan dalam hidup, maka satu hari nanti dia akan terpaksa pula menerima apa saja keputusan yang hidup berikan padanya.

Selari dengan pendapat ini, jika kita hanya perlu berjihad bila kita tahu kita akan menang saja mungkin kita tak pergi berjihad. Sepatutnya kalah atau menang tidak menjadi kayu pengukur. Yang utama, kita berjihad kerana ingin mempertahankan apa yang kita pegang. Jika kita cuma berjihad untuk menang tapi ditakdirkan kita kalah, kita akan kecewa dan rugi. Tapi bila berjihad untuk mempertahankan maruah dan kepercayaan yang benar, sudah hampir pasti kemenangan itu milik kita. Jika kita kecundang di medan pertempuran sekalipun, kita percaya balasan di seberang sana lebih menguntungkan.

Bila sudah tiba di medan peperangan, perlu kita membakar jambatan di belakang dan terus maju ke hadapan. Tiada lagi keluh kesah yang perlu dihamburkan. Musuh di depan perlu dilawan. Yang penting perjuangan ini mesti diteruskan. Jika mahu hidup dalam kemuliaan mesti bersedia untuk bertempur. Berpatah balik hanya mengundang kehinaan.

Sekarang bayangkan diri kau adalah tikus. Apakah yang kau akan lakukan jika terjatuh dalam semangkuk susu? Berenang atau minum?

Tidak ada jawapan mudah untuk hidup. Tapi adakah hidup dalam kehinaan yang menjadi pilihan? Bukankah mati dalam kemuliaan lebih baik?