Wednesday, February 19, 2003

malam semalam menghadiri persekutuan mereka yang tidak bersekutu. ;p

tapi ada satu persoalan yang dilontarkan yang buat aku berfikir, "the problem does not lie in providing the right answer but rather in asking the right question".

jawapan selalunya membuat orang tak perlu lagi tertanya-tanya. tapi kadangkala orang lebih senang menerima apa saja jawapan dan tidak berfikir samada jawapan yang diterima itu betul atau tidak.

oleh itu, aku berfikir dalam mendidik generasi akan datang sudah sepatutnya tenaga pengajar mengubah pendekatan dengan lebih banyak bertanya daripada menjawab. silapnya kebanyakan generasi selepas era merdeka sudah terbiasa dengan budaya nganga dan suap. pelajar nganga, guru suap.

sudah pasti budaya nganga dan suap sebenarnya tidak banyak membantu pertumbuhan generasi yang kreatif dan kritikal. disebabkan sudah terbiasa disuap, maka untuk mencari ilmu pun kita perlu disuap. bila soalan yang sukar sudah ada di depan mata baru kita terhegeh-hegeh mencari guru untuk mendapatkan jawapan. nampaknya ilmu memancing yang guru-guru berikan pada kita dulu gagal kita gunakan seluruhnya. kita masih juga mengharapkan mereka memberi kita seekor ikan. itukan lebih mudah? biar orang lain dapatkan ikan dan berikan kita, daripada kita sendiri yang pergi mengail atau menjala?

berbeza dengan zaman lampau, atas alasan untuk memperkembangkan budaya ilmu, guru-guru falsafah lebih banyak bertanya dari menjawab. kerana bila ditanya otak kita lebih aktif mencari jawapan. jawapan yang kita dapat mungkin tidak betul atau kurang tepat. tapi bila sering diasak dengan soalan yang bertubi-tubi tidak mustahil otak akan lebih hidup hinggakan sampai satu tahap kita sudah bersedia untuk menjawab sebelum sebarang soalan dikemukakan.

seorang bijak pandai pernah berkata, "dalam belajar yang penting bukannya mendapat jawapan yang betul".

namun begitu kadang-kadang soalan-soalan yang bodoh pun boleh menjana jawapan yang bernas. bermula dengan soalan-soalan bodoh, banyak terhasil ciptaan yang telah mengegar tamadun manusia. jika Allah ciptakan penawar sebelum mencipta penyakit, hampir pasti Dia juga sudah menurunkan jawapan sebelum menurunkan soalan. apa, bila, di mana, bagaimana kita mendapatkan jawapan itu terletak di tangan kita. kuncinya? dalam ayat pertama yang diturunkan di Gua Hira'.