Wednesday, September 10, 2003

dipetik dari Empangan oleh Zakaria Ali

J pun naik ke restoran di tingkat atas, isi secawan kopi dan ambil sebuah donut dan duduk sendirian. Sesudah minum, perutnya buat kacau. Dia jijik pakai jamban umum. Maka dia berjalan mencari sekeping bumi untuk melepaskan berak. Bangunan tempat AA berdinding kaca. Maka dia menepi ke dinding dan berjalan agak jauh juga memerhatikan di manakah ada sekeping tanah kosong. Yang dilihatnya ialah salji, salji, salji dan salji menutupi semua dan segala. Yang tidak ditutupi oleh salji ialah landasan kapal terbang, security area, tak terbuka kepada umum. Akhirnya syarat-syarat untuk perlambangan tahi itu terpaksa diubah, disesuaikan dengan keadaan. Syarat baru tak perlu tanah berumput asalkan hijau sudah, dan tidak semestinya di luar bangunan, di dalam pun memadai. Dia masuk ke dalam sebuah lounge bernama "The Green Pasture", cari sudut yang paling tersorok. Kebetulan pula tak nampak pelanggan di dalam lounge; ada seorang budak bekerja di belakang bar, tukang basuh bukan bartender. Lama juga J duduk, pura-pura menanti untuk dilayani. Tak ada seorang pun datang melayan. Ini memberi J peluang: dia buka seluar dan terus melepas. Seketul, dua, tiga di atas permaidani hijau menyerupai rumput. Dia kesat punggungnya dengan kertas, buang ke dalam bakul sampah. Barulah dia puas, satu tindakan yang simbolik. Dia keluar lounge "The Green Pasture" dan berjalan selamba ke kaunter AA.

Mengapakah membuang air besar tiba-tiba memperoleh pengertian simbolik, J bertanya diri sendiri sambil berjalan itu.

Hari terakhir di Amerika bererti membuang tahi terakhir pula. Tahi terakhir penting kerana ia berkaitan dengan hasrat hendak pulang. Segala pengalaman di Amerika, yang tak elok, kotor, sia-sia dan jijik mesti dilupakan. Cara melupakan itu ialah menerusi pembuangan tahi, najis yang dilepaskan supaya perut bersih. Perut bersih ialah lambang pembebasan daripada cengkaman Amerika. Tahi Amerika diburaikan di bumi Amerika adalah wajar dan munasabah.