Monday, September 01, 2003

Seperti syaitan yang bosan dengan dosa

"Pergi mampuslah dengan kau, Gom! Suka hatilah kau nak buat apa pun!!"

Sebelum sempat aku menjawab, talian sudah diputuskan. Bila aku cuba menghubunginya kembali, telefon sudah dimatikan.

Aku sedar aku memang degil. Tapi sedegil-degil aku, aku akan berasa tidak senang kalau tidak diberi peluang untuk meminta maaf biarpun ramai yang menganggap ucapan maaf dari aku sudah terlalu murah. Ironinya, aku boleh meminta maaf berulang kali, tapi amat sukar untuk aku memaafkan diri aku sendiri kalau memang aku yang bersalah. Aku teringat pesan seorang kawan lama, "Before you apologize, you need to forgive yourself first, Gom." Dia sedar, aku sentiasa bergelumang dengan rasa bersalah.

Dan sedegil-degil aku juga, aku masih boleh memuaskan hati orang lain. Tidak menjadi masalah besar kalau memang ada orang yang nak aku mampus. Aku sanggup membunuh diri. Aku tidak pernah hidup untuk dunia.

Sekadar memberitahu, orang yang hendak aku mampus itu bukan wanita. Dan aku berpendirian sungguh memalukan untuk seorang lelaki mencabut nyawa sendiri kerana dikecewakan wanita.

Banyak sebab lain kenapa aku pernah terfikir untuk membunuh diri. Sudah agak lama aku tidak berperasaan begitu.

Sejak bertemu dia, perasaan itu sedikit demi sedikit terhakis. Sejak bertunang dengannya, aku bagai kehilangan punca untuk mati. Tapi Sabtu itu, perasaan itu datang lagi.

Aku jarang dapat menghabiskan sekotak Dunhill 10 dalam satu hari. Paling banyak aku boleh hisap hanya sekitar tujuh atau lapan batang rokok sahaja dalam 24 jam. Tapi Sabtu tu, aku habiskan dua kotak Dunhill 10 dalam empat jam.

Aku tidak perlu berlayar mengelilingi dunia dengan Jalur Gemilang. Dan aku juga tidak perlu berenang menyeberangi Selat Inggeris. Aku juga telah mencipta rekod. Sayang, Rimau Rodriguez tidak ada untuk merakamkan detik-detik yang penuh mendebarkan itu. Dan bezanya lagi, rekod ini tidak akan tercatat dalam Malaysia's Guinness Book of Record. Rekod ini juga tidak memungkinkan aku mendapat gelaran Datuk.

Seorang teman berkali-kali mengingatkan aku, sebatang rokok boleh memendekkan hayat selama lima minit. Memang layak rokok digelar paku keranda. Teman aku yang satu ini turut mencadangkan, jika betul aku mahu mati kenapa tidak terus mengelar pergelangan tangan aku sahaja. Katanya, cara itu lebih menjimatkan.

Tapi aku tidak pernah memberitahunya atau sesiapa pun walaupun tunang aku sendiri, aku sebenarnya pernah menoreh badan sendiri dengan pisau. Bukan sekali tapi beberapa kali. Aku bukan pengamal S&M. Aku tidak meraih kepuasan dengan menyakitkan diri sendiri mahupun menyeksa orang lain.

Aku sendiri sudah lupa kenapa aku sanggup melukakan diri sendiri. Tapi setiap kali terpandang parut-parut itu, aku masih ingat kesakitannya. Seseorang pernah menyanyi, "pain is the only thing that's real". Mungkin itulah puncanya. Memaksa diri merasai kesakitan untuk kembali ke alam realiti.

Mungkin juga aku terpengaruh dengan Jim Morrison yang dengan megah pernah mendefinisikan kehidupannya sebagai 'confronting death, experiencing pain.'

Jika kesakitan adalah kunci kepada realiti, kematian pula adalah mercu tanda yang membuktikan kita sebenarnya pernah hidup.

Sebelum membunuh diri, Kurt Cobain sempat menulis, "it's better to burn out than to fade away." Kehidupan ini diandaikannya seperti bunga api dan lilin. Hidup yang menanti kedatangan maut dianggap seperti melayari kehidupan laksana lilin. Dan menjemput kematian segera tidak banyak bezanya dengan kehidupan bunga api. Walaupun hayatnya pendek tapi penuh gemerlapan.

Aku teringat satu anekdot tentang seorang lelaki yang mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat putus cinta.

Setelah malam tiba, lelaki itu membawa seutas tali ke tengah hutan. Dia mengikat tali itu pada dahan sebatang pokok. Dengan susah payah dia berjaya menjerut lehernya sendiri.

Keesokan harinya, dia ditemui di bawah pokok oleh seorang tua yang sedang mencari akar. Tali masih terbelit di lehernya tapi dia tidak mati. Dia merintih kesakitan, meminta tolong kerana dahan pokok itu telah patah dan menghempap dirinya.

Aku pernah ketawa mendengar cerita ini. Tapi kini nak tersenyum pun terasa pahit. Tidak semua orang bernasib baik dan dianugerahkan dengan peluang kedua. Ramai yang tidak sempat meminta tolong. Bukan aku tidak mahu meminta tolong. Bukan aku tiada orang-orang yang aku boleh percayai untuk bercerita tentang beban ini. Tapi mereka terlalu sibuk, terlalu jauh ataupun terlalu malas untuk bersiap.

Beberapa waktu dulu, empat pelajar pernah mencederakan diri mereka sendiri untuk memuaskan hati seorang warden. Dan aku pun tidak takut untuk memuaskan hati kau. Mungkin aku patut heret kau bersama. Mungkin kau yang sepatutnya mampus bukan aku. Aku mahu jadi seperti Raskolnikov. Aku percaya kematian kau akan sedikit mengamankan dunia. Apa yang terjadi selepas itu, aku tidak peduli.

Maafkan aku, Tuhan. Aku tidak setabah Ayub.