Monday, February 16, 2004

bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut, baik tak boleh dipuji dan jahat tak boleh dihukum

kebolehan untuk bertutur dalam bahasa asing, merupakan kelebihan yang berguna untuk berkomunikasi dengan orang asing yang tidak pandai atau tidak mahu bertutur dalam bahasa kita.

lantaklah jika seseorang Cina atau India itu sudah dilahirkan dan dibesarkan di sini, tapi jika dia masih tidak boleh atau mahu berbahasa Melayu, maka tidak ada salahnya jika kita pula yang belajar bahasa mereka. sedangkan kalau dilihat dalam masyarakat kosmopolitan hari ini, ramai juga Melayu generasi baru yang tidak fasih berbahasa ibunda sendiri.

malah, aku rasa kalau diikut pada definisi 'Melayu' seperti yang tertulis dalam perlembagaan, aku percaya ramai Melayu yang tidak layak dipanggil Melayu. bukan setakat bahasa, malah ada juga Melayu yang sudah membuang agama dan adat resam dari hidup mereka.

untuk menjadi jenaka yang paling sedih, bila mana dalam satu mesyuarat yang disertai oleh semua Melayu pun, belum tentu minit mesyuarat itu akan ditulis dalam bahasa Melayu. persetankanlah semangat untuk menjunjung bahasa Melayu!! kenapa kita harapkan kaum lain menjunjung bahasa kita sendiri?!

tapi kalaupun kita penuh bersemangat menjunjung bahasa Melayu, adakah boleh juga dijadikan alasan untuk menebalkan prejudis untuk tidak belajar bahasa asing (termasuk bahasa cina dan india)? dan prejudis ini pula akhirnya menjadi alasan pula untuk menafikan kewarganegaraan Malaysia bagi kaum Cina dan India jika mereka tidak boleh berbahasa Melayu?

kita tinggalkan soal bahasa itu dahulu, aku nak luaskan 'komunikasi yang berkesan' ini sedikit.

setiap orang mempunyai pandangan masing-masing. ada yang serupa dan ada yang berbeza. dan mereka yang mempunyai pandangan yang serupa mungkin dikelompokkan oleh aliran agama, parti politik, hobi, latar belakang dan sebagainya.

tapi belum pernah dalam sejarah, setiap orang dimestikan untuk mempunyai pandangan yang serupa untuk setiap hal walaupun mereka itu berada dalam satu kumpulan.

pandangan boleh berubah berdasarkan proses penuaan dan pengalaman. ada pandangan yang menjadi matang, ada juga pandangan yang terus diganti dengan pandangan yang lain.

untuk membincangkan 'aliran asing' dari 'kacamata' sendiri memang senang. tapi jika kau berbuat begini, kau sebenarnya sukar meyakinkan orang yang benar-benar mempercayai 'aliran asing' ini. cara untuk mengubah 'aliran asing' kepada sesuatu yang kau percaya, kau harus memahami 'aliran asing' itu secara mendalam.

sebagai contoh, untuk seorang Muslim yang mahu berbicara tentang konsep keesaan Tuhan dari kacamata Islam kepada orang Islam yang lain, maka tidak perlu baginya untuk mengungkap kesesatan 'aliran-aliran asing' ini.

tapi jika seorang Muslim ini mahu berbicara tentang konsep keesaan Tuhan kepada orang yang tidak memahami Islam, aku rasa tidak ada salahnya jika kita tahu serba sedikit 'aliran asing' yang dipegangnya. bila memahami bahasa Cina, kita boleh berbual dengan kaum Cina. dan bila memahami konsep sosial, kau boleh berbicara dengan seorang sosialis. dan lebih bagus jika kau faham perbezaan antara sosialis dan komunis agar tidak menjadi bahan ketawa.

tidak ada gunanya berdebat jika seorang terus berdegil mahu berbahasa 'itik' dan seorang pula terus berhujah dalam bahasa 'lembu'. tidak ada titik pertemuan pun. untuk bertentang mata pun terasa janggal.

memang ada pepatah yang mengatakan, "jika Muhammad tidak datang kepada gunung, gunung akan datang kepada Muhammad". tapi kita bukan Muhammad. tidak akan ada gunung yang akan datang kepada kita jika tidak pergi kepadanya.