Wednesday, September 01, 2004

papa jigo in da house
aku tujukan khas untuk d'arkampo

Cerita aku. 26 Ogos 2004. Hampir melewati 7 petang.

Seperti biasa, aku masih di pejabat. Baru saja tamat product briefing. Bila memeriksa handphone yang aku sengaja senyapkan, ada beberapa panggilan yang tidak berjawab, antaranya dari borg dan rakan borg.

Aku terus mendail borg, tidak berjawab.

Aku mendail pula nombor rakan borg.

"Abang Gom, tahniah!! Baby girl ke baby boy?"

Hah? Baby apekebendenye plak ni? Borg sepatutnya hanya akan dibedah pada 2 September. Aku selongkar inbox messages. Ada satu pesanan baru.

"Kita dah bedah tadi. Awak tak nak datang tengok baby awak ke?"

Aku telefon borg dengan segera.

"Awak ok tak? Dah bedah ya? Baby kat mana?"

"Awak datang la sini cepat."

** ** ** **

Cerita dia. 26 Ogos 2004. 4.45 petang.

"Puan demam ke?" tanya doktor yang memeriksa.

"Tak"

Tanpa bertanya lagi, doktor berlalu pergi. Datang seorang lagi doktor.

"Betul ke puan tak demam?"

"Tak"

Doktor tu pun berlalu pergi tanpa banyak bicara lagi. Datang pula doktor yang ketiga.

"Awak demam ke puan?"

"Tak. Cuba la rasa dahi saya ni. Kenapa ni?"

"Degupan jantung bayi puan laju sangat. Tak boleh tunggu ni. Mesti buat pembedahan sekarang."

"Saya nak call suami saya dulu boleh?"

"Tak apa puan, yang itu biar kami uruskan."

"Tapi nombor telefon yang ditulis ni salah."

"Jangan risau puan, nanti kami uruskan."

Tapi sebelum sempat nurse menyalin nombor telefon suami yang betul, aku sudah ditolak ke bilik pembedahan. Risau memanglah risau, apatah lagi bila tiada siapa yang tahu aku akan dibedah.

** ** ** **

Cerita ibu. 26 Ogos 2004. Lewat jam 5 petang.

Hati seperti serba tak kena. Selesai saja solat Asar terus mengaji dan mengaji.

** ** ** **

Cerita aku. 8.15 malam hari yang sama.

Aku melihat dia lemah terbaring. Mukanya walaupun agak pucat, tapi sedikit ceria.

"Baby kat mana?"

"Ada di wad bayi. Doktor nak buat pemantauan."

Setelah berborak beberapa lama, tergerak aku untuk melihat si kecil (yang sebenarnya tidaklah sekecil mana). 4.075kg. Wuhooo!!!

Ramai juga bayi yang ditahan. Mana satu bayi aku ni?

"Cari anak ye encik? Cuba tengok kat label atas tu"

Bila dah jumpa, aku pun bertanya lagi. "Boleh ke saya angkat?"

"Boleh tapi kena cuci tangan dulu ya encik"

Selesai membersihkan tangan, aku angkat si kecil. Dia merengek kecil tapi mula tersenyum mendengar alunan qamat.

** ** ** **

Terkebil-kebil aku. Masih kurang percaya aku sudah punya anak.

"Anak siapalah yang memekak malam-malam buta ni?"

heh heh heh. Ini hari pertama aku kembali bekerja, aku sudah rindukan dia.