Wednesday, March 19, 2003

Teori Domino

Sejak zaman dulu lagi, Amerika mempunya polisi luar negara yang agak pelik. Dalam kekalutan menentang kebangkitan komunis satu ketika dahulu, timbul juga beberapa teori yang aneh-aneh. Antaranya, teori domino.

Kini teori domino itu timbul lagi. Peperangan di Iraq seakan sama seperti peperangan di Vietnam. Tapi persoalannya sekarang, adakah Iraq akan menjadi buah domino terakhir yang perlu ditumbangkan? Seperti dalam satu artikel yang aku jumpa, Youssef Chahine, seorang warga Mesir turut menyuarakan kebimbangannya.

Katanya, "Bush ni bukanlah orang yang cerdik. Saya gentar dengan mereka yang kurang cerdik, terutama sekali bila mereka mempunyai kuasa. Mula-mula dia menyerang Iraq, kemudian apa? Mungkin Arab Saudi? Kemudian Syria, kemudian mungkin kami."

Perkara ini tidak mustahil sebenarnya. Jika Amerika percaya ia mempunyai kuasa untuk mengubah kuasa kepimpinan di Iraq, kenapa perlu ia berhenti di situ sahaja? Dalam permainan domino ini, Iraq hampir pasti bukanlah buah domino terakhir yang perlu ditumbangkan. Bukan sesuatu yang melucukan jika aku katakan permainan domino Amerika kali ini sebenarnya sudah bermula di Afghanistan. Negara-negara Islam kini bagai buah-buah domino yang menunggu masa untuk dijatuhkan satu persatu.

Bercakap pasal perang ni, sudah kedengaran beberapa orang bertanya, "Amerika dah serang Iraq ke?"

Mendengar nada soalan ini aku terasa hendak ketawa. Cara mereka mengajukan soalan tidak ubah seperti, "esok jadi ke raya?"