Tuesday, September 28, 2004

Mencari guru dan mengajar sastera (Dari Bucu - Utusan Malaysia 27 Sept 2004)

Ke mana sebenarnya hendak dihalakan pendidikan sastera, paling tepatnya sastera Melayu. Apatah lagi dalam geruh mengejar kecanggihan teknologi, pemodenan dan kemajuan yang diukur secara kiraan matematik.

Pelbagai usaha telah dibuat. Juga diubah. Dan sering berubah-ubah sehingga susah hendak diagak apa hendak jadi dengan sastera.

Itupun tidak memadai untuk mengangkat sastera di sekolah. Tidak payahlah hendak sebut sastera peringkat yang lebih tinggi, di mata masyarakat.

Sastera dianggap matapelajaran mudah. Asal pandai membaca. Maka mudahlah kerja menghafal teks. Sebab itu masih lemah daya apresiasi. Menjawab soalan sastera semasa peperiksaan sama seperti pemanah menyasarkan anak panahnya ke sasaran; atau sama saja lagak penembak tepat membidik.

Sebab itu juga belajar sastera tidak pernah menjadikan seseorang menjadi glamor di sekolah. Kelas sastera untuk pelajar yang tidak cemerlang. Sebab itulah jangan haraplah jadi terbilang, dan jauh sekali gemilang.

Dan rentetannya, siapakah yang pedulikan sastera di sekolah dan menjadikannya matapelajaran untuk dipelajari sebagai elektif sama seperti kelas perdagangan dan sains.

Semua orang tahu. Kalau tidak percaya tanyalah pengetua-pengetua sekolah. Barangkali untuk seseorang pengetua mengadakan kelas sastera di sekolahnya, maka dia menjadi manusia pelik. Atau, macam manusia buang tabiat.

Bila sudah tidak nak buat sastera, macam yang selalu orang kata dan dengarlah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Tapi nampaknya, lebih suka dan senang untuk berdalih.

Biasalah, buat apa hendak memenatkan badan dan memeningkan kepala dengan perkara yang tidak dianggap penting.

Maka lepas ini, apa yang hendak dibuat. Mengharapkan Komsas untuk menyemarakkan sastera, macam dikatakan pada awal-awal lagi, lebih menjadi tempat guru-guru dan murid-muridnya berlatih menembak tepat.

Main agak saja karya mana dan soalan apa yang akan keluar dalam peperiksaan secara lebih kurang. Pandai jawab lulus cemerlang, tetapi bukanlah mutu yang diharapkan untuk memperkasakan dan memartabatkan sastera Melayu.

Apakah kita benar-benar memartabatkan sastera. Setakat menubuhkan DBP saja, rasanya tidak memadai. Pacaklah bangunan setinggi mana pun, ia tidak akan menjulang sastera ke langit bebas serta melayang ke merata jagat.

Itu cerita satu bahagian. Tidak masuk kisah guru bahasa Melayu dinobatkan guru sastera Melayu. Lalu apakah di Malaysia ada guru pakar sastera yang sebenarnya layak mengajar sastera.

Sesuatu perlu dilakukan bukan saja amalannya, tetapi pemikiran yang menganggap guru bahasa sebagai guru sastera. Bagaimana seorang guru yang memahami segala hukum bahasa hendak memahami sastera yang membenarkan lesen puitika?

Juga tidak asing lagi cerita bahawa guru bahasa tidak minat sastera, malah tidak pedulikan sastera. Inilah hakikatnya. Sama ada hendak menerima atau tidak, hakikatnya sudah menjadi realiti dan tidak perlu disorokkan, juga dinafikan.

Mengajar sekadar memenuhi tuntutan tugas, sebab itu matapelajaran sastera menjadi semakin layu dan tidak merangsangkan. Sastera Melayu menjadi hambar dan tawar. Mengajar puisi sama ada puisi moden, pantun, syair, gurindam dan syair tidak memadai dengan membaca teks seperti orang menelaah.

Mengajar sastera, sama seperti sifat sastera itu sendiri, memerlukan kreativiti dalam penyampaian. Juga memerlukan penyertaan pelajar dalam kelas yang aktif. Kelas sastera bukan untuk melahirkan pelajar yang menghafal teks. Kelas sastera bukannya kelas membaca. Tetapi pelajar yang menjiwai karya.

Sekadar pertanyaan. Berapa ramaikah guru sastera yang benar-benar terlatih di negara ini. Yang jiwanya sastera.

Mengubah persepsi terhadap matapelajaran sastera tidak sekadar pada kurikulumnya. Guru sastera juga patut mendapat latihan khusus dalam bidangnya. Orangnya juga mesti mampu berkarya. Bukan mengajar semata-mata.

Sebab guru bahasa, bukan guru sastera.