Tuesday, December 28, 2004

Itu bukan rezeki tapi petanda bagi sebuah bencana

Siapa yang boleh menduga? Rezeki yang datang bergolek sebenarnya petanda kepada satu bencana besar. Ikan yang disangka menyerah diri ke pantai sebenarnya lari dari pukulan ombak besar.

Petikan dari Utusan Malaysia Online:

Sebelum dihanyutkan ombak, kata Zulkifli, anak-anaknya serta orang ramai berebut-rebut mengutip ikan yang melompat ke darat kerana menganggapnya sebagai rezeki, tanpa mengetahui ia petanda buruk.

"Ketika kami semua sibuk mengambil ikan itu, tiba-tiba datang ombak besar dan terus menghanyutkan semua orang tetapi saya dan isteri sempat menyelamatkan diri kerana berpaut pada pokok dan batu.

"Saya benar-benar tidak menduga bahawa ikan yang melompat ke darat sebelum ombak tsunami melanda sebenarnya satu perangkap dan meragut nyawa kesemua anak saya," jelasnya.

Katanya lagi, sebelum ombak besar kedua yang berwarna putih melanda ke kawasan pantai itu, orang ramai terkejut dengan fenomena bermacam-macam ikan naik ke darat dan bergelimpangan di pantai sejurus selepas ombak pertama datang.


Ini bukan kisah kiasu atau opportunist. Ini kisah risiko yang kena kita semua hadapi bila terlalu mengejar 'kebaikan', 'rezeki' yang terpijak.

Takziah untuk Zulkifli Mohd Nor sekeluarga dan semua mangsa tsunami amnya.