Tuesday, July 30, 2002

Salam.

Alhamdulillah. Saya merafakkan ucapan terima kasih di atas penelitian berat yang diberikan oleh sahabat terhadap tulisan saya yang dikirimkan kepada laman www.kakiseni.com lewat beberapa hari lalu.

Alhamdulillah. Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pengiriman email oleh sahabat kepada saya dengan menyatakan pendirian kukuh terhadap tulisan saya.

Ya, sudah tiba masanya para cerdik pandai dan ilmuan Melayu bangkit dan memecahkan pintu penjara politik yang mengurung bangsa MELAYU dengan begitu hina dan dahsyatnya. Segala adagium malang yang berlaku ke atas bangsa Melayu sejak dari tamadun Majapahit singgah ke Tuban Kota, Demak, dan kemudiannya Langkasuka, Gangga Negara dan Melaka dan hari ini bangsa yang sama itu membina negara bernama Malaysia. Namun malangnya kepada pemerintah yang diberikan kepercayaan memimpin bangsa ini sekian lama akhirnya membawa kepada jatuh dan lenyapnya tamadun Melayu satu demi satu. Hari ini UMNO yang dahulunya bertanggung jawab menjaga kepentingan tamadun ini walaupun dalam keadaan keliru dan onar namun tidak segila sekarang ini. Di dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Kaba-kaba Minangkabau, Hikayat Terengganu dan puluhan yang lainnya mencatat dengan amat jelas tiga kelemahan bangsa Melayu iaitu fitnah, rasuah, dan khianat kepada bangsa sendiri. Siapakah yang membunuh Jebat. Siapakah yang membunuh Hang Nadim. Siapakah yang membunuh Dang Anum. Siapakah yang membunuh Mahsuri. Semuanya manusia Melayu. Dan hari ini UMNO mengheret ke lembah yang lebih hina iaitu membinasakan tunjang manusia Melayu iaitu bahasanya.

Ya, sahabat mungkin faham apa yang saya tulis kerana sepanjang saya berada di German, Austria, Luxembourg, Belarus, Russia, Sepanyol, Turki, Monaco, Perancis dan Slovakia serta Lithuania dan kebanyakan negara ini adalah negara maju manakala yang lainnya bergerak pantas ke arah itu. Saya terkejut apabila para penjual, para pedagang, para penari, para pelajar, para pensyarah, para profesor di semua negara ini menyatakan adalah gila dan bangsat kepada mana-mana bangsa jika menerima kepentingan bahasa lain melebihi bahasa ibunda mereka sendiri. Di German, Austria, Luxembourg, Leichenstein, dan Switzerland ramai kenalan saya mengatakan pendidikan itu bukan seminar, bukan kertas kerja, bukan perbuatan yang boleh dipinda mengikut sesukan hati.

Di negara-negara kami tradisi pendidikan telah berlangsung ribuan ratus tahun dan ia kekal sampai hari ini. Jika kita lihat di daerah ini dari Russia sampai ke Monaco sistem tulisan mereka sama, sistem bacaan sama, dan segala-galanya. Pendidikan mereka begitu ketat, kukuh dan padat dan tidak boleh dipinda sesuka hati para tiran politik. Nah, sahabat juga berada di Eropah dan pasti memahaminya. Kenapa bahasa Inggeris terbuang jauh di German, Russia, Turki, Jepun, dan Korea manakala Malaysia pula kelihatan mabuk dengan bahasa ini. Namun kita tidak menolaknya tapi itu bukan bermakna kita membuangnya sebaliknya kita harus mengadunnya sebagaimana bangsa ini mengadun bahasa mereka dengan bahasa yang lainnya. Di German, Belarus, Lithuania, dan kebanyakan negara daerah sini semua orang boleh faham bahasa lain yang penting seperti Inggeris, Perancis dan Sepanyol bahkan ada yang faham Portugis tapi bahasa mereka adalah bangunan kepada seluruh sistem yang ada.

Ya, sebagai perkumpulan mahasiswa, teknokrat, ahli fikir, pada ilmuan Melayu yang berada di luar negara sudah tiba masanya kita bersatu dan tunjukkan jalan kepada kaum Melayu yang berfikir bagaimana untuk menghentikan pengkhinatan politik UMNO ini. Kami tidak memusuhi UMNO tetapi kami bimbang jika kita tidak bangkit mereka akan terus tersesat dan akhirnya kita terlambat.

Ya, saya ada seorang kakak angkat berbangsa German. Beliau bukan sahaja begitu baik dalam bahasa Inggeris bahkan begitu baik dalam bahasa Melayu. Inilah contoh sebenarnya ahli politik dalam UMNO hari ini tidak terdiri dari para cerdik pandai lagi. Mereka hanyalah sekumpulan umat perosak yang melihat kepentingan diri di puncak gunung manakala umat terbanyak di tanah rata yang boleh dipijak dan digala.

Sekian, wassalam.
Muring Wien