Tuesday, September 28, 2004

Mencari guru dan mengajar sastera (Dari Bucu - Utusan Malaysia 27 Sept 2004)

Ke mana sebenarnya hendak dihalakan pendidikan sastera, paling tepatnya sastera Melayu. Apatah lagi dalam geruh mengejar kecanggihan teknologi, pemodenan dan kemajuan yang diukur secara kiraan matematik.

Pelbagai usaha telah dibuat. Juga diubah. Dan sering berubah-ubah sehingga susah hendak diagak apa hendak jadi dengan sastera.

Itupun tidak memadai untuk mengangkat sastera di sekolah. Tidak payahlah hendak sebut sastera peringkat yang lebih tinggi, di mata masyarakat.

Sastera dianggap matapelajaran mudah. Asal pandai membaca. Maka mudahlah kerja menghafal teks. Sebab itu masih lemah daya apresiasi. Menjawab soalan sastera semasa peperiksaan sama seperti pemanah menyasarkan anak panahnya ke sasaran; atau sama saja lagak penembak tepat membidik.

Sebab itu juga belajar sastera tidak pernah menjadikan seseorang menjadi glamor di sekolah. Kelas sastera untuk pelajar yang tidak cemerlang. Sebab itulah jangan haraplah jadi terbilang, dan jauh sekali gemilang.

Dan rentetannya, siapakah yang pedulikan sastera di sekolah dan menjadikannya matapelajaran untuk dipelajari sebagai elektif sama seperti kelas perdagangan dan sains.

Semua orang tahu. Kalau tidak percaya tanyalah pengetua-pengetua sekolah. Barangkali untuk seseorang pengetua mengadakan kelas sastera di sekolahnya, maka dia menjadi manusia pelik. Atau, macam manusia buang tabiat.

Bila sudah tidak nak buat sastera, macam yang selalu orang kata dan dengarlah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Tapi nampaknya, lebih suka dan senang untuk berdalih.

Biasalah, buat apa hendak memenatkan badan dan memeningkan kepala dengan perkara yang tidak dianggap penting.

Maka lepas ini, apa yang hendak dibuat. Mengharapkan Komsas untuk menyemarakkan sastera, macam dikatakan pada awal-awal lagi, lebih menjadi tempat guru-guru dan murid-muridnya berlatih menembak tepat.

Main agak saja karya mana dan soalan apa yang akan keluar dalam peperiksaan secara lebih kurang. Pandai jawab lulus cemerlang, tetapi bukanlah mutu yang diharapkan untuk memperkasakan dan memartabatkan sastera Melayu.

Apakah kita benar-benar memartabatkan sastera. Setakat menubuhkan DBP saja, rasanya tidak memadai. Pacaklah bangunan setinggi mana pun, ia tidak akan menjulang sastera ke langit bebas serta melayang ke merata jagat.

Itu cerita satu bahagian. Tidak masuk kisah guru bahasa Melayu dinobatkan guru sastera Melayu. Lalu apakah di Malaysia ada guru pakar sastera yang sebenarnya layak mengajar sastera.

Sesuatu perlu dilakukan bukan saja amalannya, tetapi pemikiran yang menganggap guru bahasa sebagai guru sastera. Bagaimana seorang guru yang memahami segala hukum bahasa hendak memahami sastera yang membenarkan lesen puitika?

Juga tidak asing lagi cerita bahawa guru bahasa tidak minat sastera, malah tidak pedulikan sastera. Inilah hakikatnya. Sama ada hendak menerima atau tidak, hakikatnya sudah menjadi realiti dan tidak perlu disorokkan, juga dinafikan.

Mengajar sekadar memenuhi tuntutan tugas, sebab itu matapelajaran sastera menjadi semakin layu dan tidak merangsangkan. Sastera Melayu menjadi hambar dan tawar. Mengajar puisi sama ada puisi moden, pantun, syair, gurindam dan syair tidak memadai dengan membaca teks seperti orang menelaah.

Mengajar sastera, sama seperti sifat sastera itu sendiri, memerlukan kreativiti dalam penyampaian. Juga memerlukan penyertaan pelajar dalam kelas yang aktif. Kelas sastera bukan untuk melahirkan pelajar yang menghafal teks. Kelas sastera bukannya kelas membaca. Tetapi pelajar yang menjiwai karya.

Sekadar pertanyaan. Berapa ramaikah guru sastera yang benar-benar terlatih di negara ini. Yang jiwanya sastera.

Mengubah persepsi terhadap matapelajaran sastera tidak sekadar pada kurikulumnya. Guru sastera juga patut mendapat latihan khusus dalam bidangnya. Orangnya juga mesti mampu berkarya. Bukan mengajar semata-mata.

Sebab guru bahasa, bukan guru sastera.

Monday, September 27, 2004

Sastera Melayu - Asing di negara sendiri? (Utusan Malaysia 27 Sept 2004)
Oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

PERSOALAN yang biasa terbetik, apakah karya-karya sastera Melayu tidak cukup besar untuk mendapat pengiktirafan paling wajar.

Tentunya, ia cerita menyedihkan apabila segelintir begitu bangga dengan pengetahuan dan penguasaannya terhadap sastera Inggeris, atau karya-karya sastera besar dari luar negara.

Lazimnya pula, sifat manusia mengenal kuman di seberang lautan, daripada gajah di depan mata. Sebab itulah fitrah manusia.

Sebab itu juga sesi soal jawab Forum Lingkar Sastera Mutakhir sempena Festival Kesusasteraan Antarabangsa Kuala Lumpur Citigroup 2004 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini menjadi hangat.

Hangat disebabkan para pesertanya yang begitu asing dengan sastera Melayu, malah pada satu tahap semacam mahu merendahkannya.

Forum yang dihadiri sebahagian besar penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menampilkan Faisal Tehrani, Aminah Mokhtar dan Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dari Malaysia serta Mohd Isa Kamari (Singapura), Muhammad Zefri Ariff (Brunei Darussalam), sementara Abdul Rahman Yusof (DBP) sebagai ahli panel.

Penuntut tersebut mempelajari kesusasteraan Inggeris. Justeru, tidak aneh jika suara mereka yang tampil semasa sesi soal jawab menggambarkan betapa naifnya mereka.

Bagaimanapun kehadiran mereka amat positif dalam merintis hubungan sastera Melayu-Inggeris yang selama ini seperti mustahil akan berlaku.

Walaupun dalam pendapat mereka itu tersirat ketidakadilan, keseluruhan forum begitu bermanfaat.

Malah reaksi balas ahli panel, terutama Faisal dan beberapa khalayak lain yang menyanggah memang hangat. Namun, ia berlangsung dengan telus dan mesra. Ini yang penting dan amat diharapkan meskipun jarang berlaku pada forum lain.

Antara yang disentuh penuntut UIAM itu termasuklah tidak memahami bahasa karya sastera Melayu, karya sastera Melayu tidak bertaraf antarabangsa, tiada penulis Melayu memenangi hadiah bertaraf antarabangsa serta penghasilan karya sastera Nusantara.

Menyalahkan penuntut tersebut semata-mata adalah tidak adil; walaupun pertanyaan mereka menggambarkan kedaifan maklumat terhadap sastera Melayu mutakhir sehingga memancing reaksi Faisal yang agak keras.

Mereka hanya merujuk kepada karya lama dan picisan yang barangkali sempat dibaca ke universiti atau di celah-celah kesibukan menyelesaikan tugasan.

Ini tidak juga salah meskipun mereka seperti menyalahkan pendidikan yang diterima sebagai membela kebutaan terhadap sastera Melayu.

Setidak-tidaknya, pengakuan serta perbincangan telah membuka jalan dan mata yang sekian lama tertutup.

Semoga hubungan yang telah dirintis ini akan semakin kukuh dan mengikis prasangka yang merugikan dua hala. Baik sastera Melayu mahupun sastera Inggeris, kedua-duanya sama menyumbang untuk kesusasteraan tanah air.

Harapan ini digambarkan sedikit sebanyak apabila penuntut berkenaan berbual mesra dengan Faizal dan ahli panel lain pada akhir forum.

Faizal bertanya apakah pelajar UIAM yang hadir sama ada sudah membaca karya sastera Melayu mutakhir seperti Naratif Ogonshoto, Iman Markisa, Dominasi Tebrau dan Mencari Locus Standi sebelum membuat penilaian.

Ternyata mereka tidak membaca sehingga Faisal menyoal kembali siapa yang sebenarnya yang masih berada di dalam kepompong.

Faisal juga menyatakan bahawa kebanyakan pemenang hadiah besar dunia pengikut sosialis, komunis dan atheis. Justeru, beliau membangkitkan persoalan, wajarkah penulis Melayu beragama Islam duduk sebaris dengan penulis tersebut.

Isa, seorang penulis novel dan skrip drama televisyen dalam reaksinya menyatakan latar belakang apapun, termasuk Inggeris bukan halangan untuk mendekati sastera Melayu. Apatah lagi, tambahnya, jika memang berbangsa Melayu.

Ini turut disentuh seorang peserta bahawa yang penting ialah niat. Jika ada niat, kesempatan akan dicari untuk mendekati karya sastera Melayu.

Peserta ini juga berpendapat soal klise dan membosankan dalam karya kerana adanya halangan serta akta menyekat kreativiti penulis.

Katanya, ada antara isu yang lebih besar tidak dapat disentuh kerana sensitif dan menyalahi undang-undang.

Mengenai penghasilan karya sastera Nusantara, Isa berkata itu juga tidak menjadi masalah.

Katanya, beliau sendiri selalu memasukkan unsur atau ciri Nusantara dalam karya kerana sedar dirinya adalah penulis dari dunia gugusan tersebut. Dengan sendirinya Nusantara tampil tanpa paksa.

Dr. Faridah yang juga pensyarah kesusasteraan Inggeris di UIAM dalam reaksi sebelum `membela' pelajarnya berpendapat karya peranan Melayu boleh mencapai taraf antarabangsa dengan bantuan peranan pengkritik.

Cuma masalahnya, tambah beliau ialah pengkritik tidak boleh mengkritik rakan walaupun kritikan itu wajar dibuat.

Reaksi

Dalam `pembelaannya' sebagai reaksi kepada kekesalan seorang lagi peserta bahawa pelajar Melayu tidak memahami diksi bahasa Melayu dan berfikir dengan bahasa Inggeris, Dr. Faridah menjelaskan ini disebabkan arahan dari atas yang perlu dipatuhi.

Katanya, bukan semua diksi tidak difahami. Apa yang menjadi masalah ialah ciri semula jadi bahasa Melayu mempunyai imbuhan tertentu membuatkan pelajar yang saban hari bergelumang dengan bahasa Inggeris tidak memahaminya.

Ini berkaitan dengan reaksi Zefri Ariff yang menyebut soal batasan akta boleh diatasi dengan menggunakan bahasa retorik dan simbolik. Hal ini memang disedari. Namun, ini jugalah yang menyebabkan timbulnya ketidakfahaman. Selain itu, karya bukan sekadar menampilkan bahasa. Tema atau wataknya juga boleh membawa penulis ke penjara.

Oleh kerana semua yang menghadiri forum beragama Islam, maka roh dan saranan agama ini memang tidak dilupakan. Ia penting dalam penghasilan karya besar, bermaruah dan bermanfaat.

Dr. Faridah misalnya mengingatkan tentang saranan Imam al-Ghazali. Katanya, penulis bukan golongan sembarangan. Sebagai bukti, terdapat juzuk khas untuk penulis dalam al-Quran, iaitu menerusi surah as-Syura.

Katanya, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi penulis jika kurang ilmu dunia dan akhirat. Pendeknya, usah membuang masa menjadi penulis jika tiada perkara baik yang dapat atau mahu diketengahkan.

Isa pula menjelaskan betapa jiwanya terganggu dengan pergolakan dunia yang banyak menindas umat Islam hari ini. Katanya, ini semua disebabkan umat Islam hanya terpesona dengan kegemilangan lalu, tetapi terperangkap dalam kesilapan hari ini.

Nabi Muhammad s.a.w, kata Isa, begitu dijunjung umat Islam. Namun, amalan yang songsang terus dilakukan. Beliau mempersoalkan wajarkah janggut Rasulullah dipamerkan bersama bahan lain.

Zefri pula bertanya mengapa kekuatan sastera bersama ajaran Islam tidak digunakan untuk membawa kita berdiri teguh dan tidak mudah dibeli. sebagai umat Islam, katanya, semua orang mempunyai amanah. Begitu juga dengan penulis.

Monday, September 20, 2004

pagi-pagi menanam ubi
tanam ubi di atas batas
hati-hati menerima budi
ada budi minta dibalas

Thursday, September 16, 2004

Berdebat untuk belajar

"I argue very well. Ask any of my remaining friends. I can win an argument on any topic, against any opponent. People know this, and steer clear of me at parties. Often, as a sign of their great respect, they don't even invite me."
Dave Barry

Aku rasa GJ masih lagi kurang terbuka terhadap satu budaya belajar yang dikenali sebagai "berdebat untuk belajar" (arguing to learn). Benda-benda asas dalam kata-kata Socrates yang diputarkan ini (kata-kata asalnya berbunyi learn to argue) adalah ia boleh memangkinkan kau untuk mengumpul, menilai dan menyusun maklumat / pengetahuan.

Dengan berdebat tentang sesuatu subjek, kau akan banyak belajar tentang misconceptions kau sendiri dan boleh memberi kau kefahaman yang lebih mendalam dari sudut yang berbeza. Satu sebab kenapa berdebat adalah alat pembelajaran yang berkesan ialah manusia cenderung untuk menjadi optimistik tentang kekukuhan posisi mereka tentang sesuatu subjek.

Tidak boleh dinafikan, internet menukar cara kita belajar. Mentor yang bagus, seperti guru yang bagus tidak lagi seperti sage on the stage tapi lebih seperti guide on the side. Dengan segala maklumat boleh didapati di internet, kita adalah mentor dan juga pelajar pada sama yang sama.

Aku lihat GJ adalah juga sebagai salah satu komuniti internet yang sudah cukup gah walaupun usianya masih belum mencapai sedekad. Dengan bilangan ahlinya yang menjangkau angka ratusan, adalah mustahil jika mereka ini mempunyai hanya satu pendapat saja untuk sesuatu hal. Ramai orang banyak ragamnya. Dan banyak pulalah perbezaan pendapatnya.

Tapi adalah sesuatu yang merugikan komuniti yang utuh ini tidak menggunakan sepenuhnya kelebihan budaya belajar dengan berdebat ini. Dan rugilah juga jika ada ahli GJ yang lebih suka melenting bila ditegur oleh mereka yang tidak sama aliran dengan pemikiran mereka. Mungkin ada yang lupa, kita tak selalunya betul dan yang menegur pula tidak selalunya salah.

Dan yang menjadi jenaka bangsat pula, bila pihak yang mengkritik pendapat orang lain tidak pula boleh menerima bila pendapatnya dikritik oleh orang yang dikritiknya. Maka perdebatan yang amat berguna itu bertukarlah menjadi perbalahan. Tambah memilukan pula, perdebatan tentang ilmu boleh berubah menjadi sengketa "makan dalam". Dan segala cerita celah kangkang pihak lawan pula mahu didedahkan untuk jadi tontonan umum. Pergi jahanamlah ya dengan akhlak?

Tapi ini semua buat aku tertanya. Bila kali terakhir kau berdebat? Bila kali terakhir kau terpaksa menyamar untuk berdebat dengan rakan sendiri? ehem.... ehemm...

Atau berapa lamakah kau didodoikan oleh puji-pujian hingga kau mudah mengamuk sakan bila tercuit oleh satu teguran kecil?

Kembali pada Qur'an dan Sunnah? Ataupun kembali pada tafsiran Qur'an dan Sunnah ulama'-ulama' yang kau mahu terima sahaja?

Aku bukan mahu mengajar kau bersinsing lengan, sahabat! Tapi berdebat dengan cara yang terbuka. Berdebatlah dengan cara yang bijaksana. Carilah dan jadilah lawan yang tinggi nilai ilmu dan kesabarannya.

*ditulis semula ikut sedap mulut mak bapak aku berdasarkan Arguing to Learn oleh Margaret Rouse

Monday, September 13, 2004

eksotika mentaliti kolonial pasca-merdeka

Bukan aku cemburu dengan nama-nama eksotik.

Tapi bila terpandang satu nama dalam salah satu iklan kad kredit, aku terus tersenyum.

Bunyinya memang menyejukkan halwa telinga. Adam Eusoffe. Melayukah? Kacukankah? Celupkah?

Kenapa dalam banyak-banyak nama, nama yang sama usangnya dengan Jack Union pada tanggal 31 Ogos 1957 itu juga yang dipilih?

Kenapa tidak pilih saja nama melayu yang lebih eksotik seperti Ghazali Bunari, Norsiyah Kasnawi atau Supiah Sungap?

Kenapa? Apa kau fikir mereka yang namanya ada bau-bau Jawa, Banjar atau Bugis ini tidak layak punya kad kredit?

Ah! Terlupa pula aku. Ini era globalisasi. Fikiran aku sebenarnya yang sudah lapuk. :|

Monday, September 06, 2004

apa yang kau merepek ni setan?

kecondongan seksualnya terhadap kaum sejenis dah menjadi buah mulut orang ramai. tapi bila lelaki yang popular ini diajukan soalan kalau-kalau dia benar pengamal homoseks, dia pantas menjawab, "saya pernah berkahwin dan mempunyai anak".

aku hampir tersedak mendengar jawapannya. apa yang kau merepek ni, setan?!

"pernah berkahwin" tidak boleh membuktikan kau adalah lelaki yang normal orientasi seksualnya. ia juga bukan jawapan tepat yang boleh menafikan kecenderungan nafsu kau terhadap lelaki lain.

paling tidak pun, ia hanya bisa menukarkan status 'pengamal seks sejenis' (homoseks) kepada 'pengamal seks tak berjenis' (biseks)

"mempunyai anak" lebih merujuk pada kesuburan sperma la, brader.

mujur juga lelaki tidak boleh mengandung. kalau tidak, mungkin tidak mustahil jika ada lelaki yang tampil dengan perut memboyot dan mendakwa yang kau adalah bapa pada anak dalam kandungan.

hah hah hah!!! ooopss!!

Thursday, September 02, 2004

sekarang apa?

DSAI sudah dibebaskan. apa akan jadi nanti? aku bukan penganalisa sosio-politikal-ekonomi, cuma kepala aku kini sudah sesak dengan ribuan persoalan.

apakah akan ada politik balas dendam? adakah akhirnya, Tun akan terseret ke mahkamah? ini sudah seperti cerita dongeng Star Wars. adakah rakyat Malaysia akan berpeluang menonton Luke Skywalker menentang Darth Vader?

ada yang mengatakan DSAI sudah hilang impaknya pada politik negara. tapi itu ceritanya bila dia masih ada di dalam. sekarang dia di luar, jalan ceritanya pasti boleh berubah.

politik cantas mencantas dan balas dendam bukan cerita baru. kita boleh lihat sendiri dalam sejarah Islam zaman pasca-Khulafa ar-Rasyidin. jadi apalah jahatnya kalau setakat maki dan carut marut dalam masjid? sedangkan satu ketika dulu, pernah kubur pemerintah sebelumnya dikencingkan dan digali seterusnya tulang belulangnya diseret ke pasar?!

ini bukan cerita rekaan. ini pernah terjadi dan aku rasa tidak mustahil akan terjadi di sini.

sekarang apa? apa lagi yang bakal terjadi?

pilihanraya boleh jalan, aku nak beraya di jalanan!!

Re-4-Ma-C!!! adakah gemanya akan menggegarkan jalanan sekali lagi?

Wednesday, September 01, 2004

papa jigo in da house
aku tujukan khas untuk d'arkampo

Cerita aku. 26 Ogos 2004. Hampir melewati 7 petang.

Seperti biasa, aku masih di pejabat. Baru saja tamat product briefing. Bila memeriksa handphone yang aku sengaja senyapkan, ada beberapa panggilan yang tidak berjawab, antaranya dari borg dan rakan borg.

Aku terus mendail borg, tidak berjawab.

Aku mendail pula nombor rakan borg.

"Abang Gom, tahniah!! Baby girl ke baby boy?"

Hah? Baby apekebendenye plak ni? Borg sepatutnya hanya akan dibedah pada 2 September. Aku selongkar inbox messages. Ada satu pesanan baru.

"Kita dah bedah tadi. Awak tak nak datang tengok baby awak ke?"

Aku telefon borg dengan segera.

"Awak ok tak? Dah bedah ya? Baby kat mana?"

"Awak datang la sini cepat."

** ** ** **

Cerita dia. 26 Ogos 2004. 4.45 petang.

"Puan demam ke?" tanya doktor yang memeriksa.

"Tak"

Tanpa bertanya lagi, doktor berlalu pergi. Datang seorang lagi doktor.

"Betul ke puan tak demam?"

"Tak"

Doktor tu pun berlalu pergi tanpa banyak bicara lagi. Datang pula doktor yang ketiga.

"Awak demam ke puan?"

"Tak. Cuba la rasa dahi saya ni. Kenapa ni?"

"Degupan jantung bayi puan laju sangat. Tak boleh tunggu ni. Mesti buat pembedahan sekarang."

"Saya nak call suami saya dulu boleh?"

"Tak apa puan, yang itu biar kami uruskan."

"Tapi nombor telefon yang ditulis ni salah."

"Jangan risau puan, nanti kami uruskan."

Tapi sebelum sempat nurse menyalin nombor telefon suami yang betul, aku sudah ditolak ke bilik pembedahan. Risau memanglah risau, apatah lagi bila tiada siapa yang tahu aku akan dibedah.

** ** ** **

Cerita ibu. 26 Ogos 2004. Lewat jam 5 petang.

Hati seperti serba tak kena. Selesai saja solat Asar terus mengaji dan mengaji.

** ** ** **

Cerita aku. 8.15 malam hari yang sama.

Aku melihat dia lemah terbaring. Mukanya walaupun agak pucat, tapi sedikit ceria.

"Baby kat mana?"

"Ada di wad bayi. Doktor nak buat pemantauan."

Setelah berborak beberapa lama, tergerak aku untuk melihat si kecil (yang sebenarnya tidaklah sekecil mana). 4.075kg. Wuhooo!!!

Ramai juga bayi yang ditahan. Mana satu bayi aku ni?

"Cari anak ye encik? Cuba tengok kat label atas tu"

Bila dah jumpa, aku pun bertanya lagi. "Boleh ke saya angkat?"

"Boleh tapi kena cuci tangan dulu ya encik"

Selesai membersihkan tangan, aku angkat si kecil. Dia merengek kecil tapi mula tersenyum mendengar alunan qamat.

** ** ** **

Terkebil-kebil aku. Masih kurang percaya aku sudah punya anak.

"Anak siapalah yang memekak malam-malam buta ni?"

heh heh heh. Ini hari pertama aku kembali bekerja, aku sudah rindukan dia.